Pesan PL 2021 - Bhgn 10 (Akhir)

Salam sayang Keluarga Batalion. 

Ini adalah coretan saya yang terakhir sebagai PL bagi Batalion, kohort Program DPA pertama saya. Pastinya Batalion sangat nostalgik dan akan saya ingati sampai bila-bila. 

Tulisan ini adalah yang terakhir daripada saya sebelum kalian meneruskan pelayaran yang baharu. 

Hari ini adalah hari yang sangat mendebarkan. A day of mixed feelings. 

9 bulan lamanya perjuangan yang telah ditempuh untuk sampai pada hari yang sangat bersejarah dalam hidup kamu ini. Hari yang bakal membuka jalan ke arah dunia baharu yang akan kamu hadapi untuk tempoh beberapa tahun mendatang. Suka ataupun tidak, itulah hakikat yang tidak dapat diputar semula. 

Tenanglah sahabat. Semuanya telah tertulis dalam suratan takdir. Ketentuan Tuhan tidak pernah menzalimi hamba yang sentiasa percaya. Percaya bahawa perancangan Tuhan lebih tinggi daripada kehendak manusia. Percaya bahawa setiap yang ditentukan Tuhan, itulah yang terbaik. Percaya dengan pasti bahawa ada hikmah atas segala ketentuan. 

Kamu telah menghadapi ujian yang sangat dinamik sepanjang 9 bulan ini. Semuanya adalah proses yang dirancang dan dilaksanakan sebaik mungkin untuk menyediakan kamu bagi menempuh alam perkhidmatan yang mendatang ini. Gerbangnya sudah sangat hampir. Adakah 9 bulan ini telah menyempurnakan kamu? Tentunya belum.

Proses perkembangan dan pembelajaran akan terus berjalan bagi kamu, walaupun bukan secara formal yang intensif sebegini lagi. Cuma kini kamu harus berdikari dalam proses itu. Tugas akan datang mencari kamu walaupun kamu belum bersedia dengan sempurna. Tiada lagi pergantungan pada PLK/PL atau kadet lain dalam melaksanakan tugas. Now you are on your feet. 

Di satu sudut, kamu harus merasa puas kerana menyempurnakan Program DPA adalah a life changing journey. Di satu sudut yang lain, kamu harus menerima hakikat bahawa proses yang sangat bernilai ini takkan berulang lagi. Be grateful about it. And be ready for upcoming hurdles. 9 bulan ini adalah untuk memberi gambaran asas, go and experience the more exciting journey ahead. 

Yang paling penting adalah semangat untuk sentiasa belajar dan sikap tidak mudah mengeluh atau berputus asa. Jangan sombong-sombong. Di mana sahaja ditempatkan, kita akan menjadi aset yang bermakna. Saya percaya Batalion sangat unik dan mampu adapt dengan pelbagai situasi. Tahun ini penuh dengan perubahan. Perubahan itulah yang menempa potensi yang tersimpan. Benarlah firman Ilahi, boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal itu baik bagi kamu. 

Pulanglah dengan penuh kesyukuran dan penuh kesedaran. Kesedaran bahawa ada mereka yang tersayang yang setia menanti kepulangan. Pulanglah dengan pelukan erat dan ungkapan penghargaan yang amat sangat atas penantian mereka yang penuh sabar. Kini, saat penantian itu telah berakhir. Kesabaran mereka telah menjadi sumber kekuatan kamu sepanjang Program DPA ini. Tiba saatnya, pencapaian kamu menjadi hadiah bermakna dan kebanggaan bagi mereka. 

Akhir kalam, ingatlah bahawa tidak ada satu nilai pun dalam segala pekerjaan kita, walau sebesar mana, andai tiada keikhlasan di dalam jiwa. Keikhlasan itulah yang akan membakar semangat juang untuk berbakti dan terus memberi walaupun tiada ganjaran setimpal yang kita terima di dunia. Tiada penghargaan dan pujian yang kita peroleh. 

Pada hakikatnya, ketika kita memilih untuk melangkah ke alam ini, kita telah menyerahkan jiwa raga untuk berbakti demi rakyat dan ibu pertiwi. Jika tulus niatnya, maka kepenatan tidak akan menjadi keluhan, tetapi sebuah kepuasan yang membahagiakan. Lalu kesungguhan kita tak perlu dipaksa. Ia datang daripada hati yang rela. 

Batalion, Terima kasih atas segalanya. 
Maaf andai ada terguris rasa sepanjang kita bersama dan dalam memberi pesan. 

Saya pernah pergi satu ceramah, ustaz tersebut ada berpesan, kalau semua nasihat dan pesanan asyik kena batang hidung orang lain, bila kita nak berubah?

DPA, satu perjalanan yang pasti dikenang, tetapi tak ingin diulang. 

Welcome to the service. 

Selamat meneruskan pelayaran.

PL ZY
12 November 2021



Comments