DPA 2020 : Apakah Kesudahannya?

Pejam celik pejam celik, semester pertama program DPA untuk sesi 2020 sudah melabuhkan tirainya. Nama batch yang diberi - Bitarawangsa, tentu sekali tiada taranya. Apa tidaknya, Bitarawangsa mengukir sejarah menjadi batch pertama yang buat julung-julung kalinya menjalani pembelajaran e-learning dari rumah. Dikejutkan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana penularan wabak Covid-19 seawal bulan Mac, kesemua modul luar yang perlu diikuti pula terpaksa ditunda. Justeru, pelbagai persoalan bermain di minda kadet. Apakah kesudahan program DPA 2020? Adakah kadet perlu extend pengajian? Adakah kadet perlu terus menjalani pembelajaran di atas talian sepanjang DPA? Sehingga artikel ini ditulis, kesemua persoalan ini masih belum terjawab. 

Sejujurnya, situasi ini sedikit sebanyak menggugat keyakinan kadet akan kemampuan masing-masing. Malah, ada di antara kita yang barangkali rasa tidak mampu lagi meneruskan lagi perjuangan ini. Sungguhpun berada di rumah di samping ahli keluarga, kadet berdepan dengan pelbagai cabaran. Cabaran utama kadet adalah menyeimbangkan urusan keluarga (kerja-kerja rumah) dengan sesi pembelajaran atas talian, tugasan berkumpulan dan individu serta peperiksaan. Ini ditambah dengan sambungan internet yang tidak stabil yang mengekang tumpuan dan komitmen sepenuhnya semasa kelas. Modul-modul akademik juga bertambah sukar terutamanya bagi kadet yang mempunyai latar belakang teknikal seperti sains dan kejuruteraan. 

Rakan-rakan kadet sekalian, benar, jalan di hadapan kita semakin berliku dan kabur. Semua yang berlaku di sekeliling kita berada di luar kawalan kita. Kita punya pelbagai persoalan tetapi tiada jawapan yang pasti. Tetapi, apa yang pasti - ini adalah jalan yang kita pilih dan hanya kita yang boleh mengawal cara kita respon kepada apa yang berlaku. Barangkali menyertai DPA pada tahun ini bukan pilihan yang kita ambil sepenuh hati. Ada yang menyempurnakan hasrat ibu bapa, ada yang ingin berbakti kepada negara dan tidak kurang ada yang masih tercari-cari halatuju karier masing-masing. Tetapi, sedarkah kita, biar apa pun tujuan kita menyertai DPA, kita berada di sini di atas pilihan kita. Yes, we chose to be here! Kita menggalas tanggungjawab ini setelah sedia maklum akan pelbagai cabaran yang menanti di sepanjang perjalanan ini. 

Malah, terlalu banyak yang kita dan ahli keluarga kita telah korbankan bagi memulakan perjuangan selama 10 bulan ini. Ada yang meletakkan jawatan yang telah disandang bertahun-tahun, ada juga yang perlu membayar ganti rugi kerana tempoh notis yang pendek, ibu-ibu yang terpaksa meninggalkan anak, kaum Adam yang meninggalkan isteri yang sarat mengandung, rakan-rakan nun jauh dari Sabah dan Sarawak berkelana tanpa dapat pulang ke kampung halaman setiap minggu dan bermacam-macam lagi. 

Rakan-rakan kadet sekalian, yakin dan percayalah bahawa segalanya tidak akan berlaku tanpa ketentuan Tuhan Yang Maha Esa. Ini adalah percaturan yang ditetapkanNya dan pasti ada hikmah di sebalik semua ketetapan ini. Biar apa pun cabaran yang menanti di hadapan, ayuh kita kumpulkan segala kekuatan dan semangat yang ada untuk terus mara tanpa berhenti! Ini adalah pilihan kita. Let’s finish what we have started! Ini masanya untuk kita buktikan bahawa kita benar-benar merupakan insan terpilih dari beratus ribu rakan-rakan lain yang ingin berada di tempat kita sekarang.   

Pepatah Inggeris ada menyebut, “When the going gets tougher, only the tougher gets going”. Pastinya kita kuat baik dari segi fizikal mahupun mental. Biarpun jalan ini bertambah sukar, teruskan mara tanpa menoleh ke belakang. Jika penat, berhenti dan berehat, tetapi jangan berputus harapan. Teruskan berjalan dan berjalan. Kelak akan tiba di penghujung jalan. Ayuh, rakan-rakan kadet sekalian, mari kita teruskan perjuangan!!! Let’s get this done!!!

Farizah Mohamad Ikbal
29 Mei 2020


Comments

Popular posts from this blog

Jurnal DPA 2020 - Bhgn 17

Pesan PL 2021 - Bhgn 4