Jurnal DPA 2020 - Bhgn 16

20 haribulan, 5 bulan yang lalu, pada pagi yang hening dan segar, 7 bas dari IBK dan 4 bas dari IJE telah memulakan sebuah perjalanan menuju ke sebuah tempat yang misteri, tidak diberitahu. Rahsia, tidak dapat diduga oleh semua. 

Pada ketika itu, banyak maklumat intelligent yang cuba memberitahu, membuat andaian, ke manakah halatuju 11 bas yang membawa 407 jiwa muda yang begitu teruja? Tiada kepastian.

Itulah sebuah permulaan. Ketika semuanya membawa beribu harapan. Datang dari dunia silam yang berbeza-beza corak dan warna. 

Pelbagai perkara yang bermain di jiwa pada ketika itu. Resah, tak keruan. Gembira, tak tergambarkan. Banyak wajah yang tidak dikenali. Mungkin semuanya asing. 

Bahkan, bas dan nombor bas juga tidak diingati pada saat itu. Sehingga ramailah insan berbaju sukan hitam lengkap berlegar-legar mencari bas masing-masing di perhentian RnR.

Mengenang kembali, rasa rindu timbul. Pada ahli kumpulan binatang yang sempat bekerja bersama hanya ketika induksi dan GI, namun terasa begitu akrab. Pada suasana yang semuanya tidak ada sebarang prejudis pada sesiapa. Semuanya bersemangat untuk saling mengenal dan saling memberi semangat. 

Hari ini, 20 haribulan, kita telah berada di pertengahan perjalanan. 407 telah menjadi 405. Penggal 1 telah beralih ke penggal 2.

Begitu cepat putaran masa, antara terasa dan tak terasa. Nak kata sekejap, banyak perkara yang telah dihadapi bersama. Nak kata lama, semuanya seolah-olah baru terjadi semalam.

Tarian ayam pak let masih terngiang-ngiang dalam ingatan. Begitu juga rasa lumpur yang dilumur di muka, masih tidak dapat dilupa.

20 Jan - 20 Jun. Ia telah menjadi sejarah.
20 Jun - 20 Nov. Masih banyak sejarah perlu kita cipta.

Lagi seminggu, kita akan kembali pada kehidupan yang telah kita tinggalkan sementara sejak 3 bulan yang lalu. Sekali lagi resah menjengah, menuju ke norma baharu. 

Jika ada perkara salah yang kita sesali kerana telah kita lakukan dalam 5 bulan yang lepas, inilah masanya untuk kita hentikan dan melakar perjalanan baharu.

Jika ada perkara sepatutnya yang kita sesali kerana tidak kita lakukan dalam 5 bulan yang lepas, inilah masanya untuk kita beranikan diri mencuba dan berusaha. Potensi kita masih banyak perlu ditempa. 

DPA ini hanya sekali dalam kehidupan kita sebagai PTD, dan separuh daripada masa DPA telah pergi tak akan kembali.

Ketika kita yang melangkah pergi meninggalkan DPA ini nanti, apakah yang akan kita bawa pergi?

Jika bukan kita, siapa?
Jika bukan sekarang, bila? 

ZY
20 Jun 2020.

Comments

Popular posts from this blog

DPA 2020 : Apakah Kesudahannya?

Jurnal DPA 2020 - Bhgn 17

Pesan PL 2021 - Bhgn 4