Pesan PL 2021 - Bhgn 7

 Pesan PL - Bhgn 7

Pengorbanan adalah sebuah kemestian dalam kehidupan. Ia adalah bukti kepada cinta dan kesungguhan.

Tidak ada istilah pengorbanan andai hidup ini penuh dengan kesenangan dan laluan yang sentiasa indah. Ada masa kita akan berhadapan dengan keadaan yang menyakitkan, menakutkan dan merisaukan. Gembira dan sedih juga mungkin silih berganti bagai bertukarnya malam dan siang.

Setiap orang akan diuji dengan kapasiti diri masing-masing dalam hidup ini. Kita percaya bahawa Tuhan tidak membebani seseorang melainkan apa yang mampu ia tanggung. Berjaya dengan satu tahap ujian bukanlah bererti bebas sehingga ke pengakhiran. Ujian mendatang akan lebih mencabar, kerana kapasiti diri kita telah meningkat. 

Jika kita gagal pada satu tahap ujian, kita akan terus diuji lagi sehingga kita dapat melepasinya. Dari situlah kita berkembang dan menjadi lebih baik. Segala kesakitan dan pengorbanan akan memberi erti yang besar dalam perjalanan yang kita tempuh.

Semakin tinggi kita ingin terbang dalam kehidupan menuju Tuhan, semakin besar juga pengorbanan yang dituntut dalam kehidupan kita. Ia akan melibatkan segenap aspek, baik secara individu, keluarga, kerjaya, mahupun kehidupan sosial.

Program DPA ini juga sebahagian daripada garis masa yang tidak terpisah daripada kehidupan kamu. Inilah sebahagian pengorbanan hidup yang perlu kamu lakukan demi meraih sesuatu yang lebih baik. Kesakitan dan keperitan sementara yang sedang kamu lalui ini adalah ujian dalam menempa diri menjadi lebih kuat dan lebih matang.

Semoga di pengakhiran nanti, kamu lebih bersedia menghadapi ujian-ujian yang mendatang dalam perkhidmatan, bahkan dalam segenap kehidupan.

Bagi menempuh laluan ini, pengorbanan itu pasti. Bukan sahaja oleh diri kamu sendiri, bahkan ahli keluarga yang setia menanti dan mengharap kamu pulang dengan kecemerlangan. Bagi setiap orang, skala pengorbanan juga pasti berbeza-beza. 

Namun, kuatkanlah tekad dan pujuklah diri selalu. Tidak lama lagi, segala keperitan itu akan menjadi kenangan yang paling manis dan berharga.

Kita semua percaya bahawa kita tidak diciptakan melainkan untuk mengabdikan diri kepada Tuhan. Pengabdian dengan menyerah atas segala perintah, suka ataupun tidak, senang mahupun susah.

Ketika kamu telah tekad memilih laluan ini, dan Tuhan juga mengizinkan kamu untuk melaluinya, ia telah menjadi sebuah ketentuan yang pasti. Ia perlu diisi dengan kesyukuran dan kesungguhan di sepanjang perjalanan.

Tuhan sedang menguji kamu, dan Dia sama sekali tidak akan pernah meninggalkanmu. Pengorbanan kecil mahupun besar yang kamu tanggung dalam kehidupan ini, tidak akan pernah sia-sia di sisi Tuhan bagi mereka yang sentiasa ikhlas dan selalu berserah.

Salam Hari Arafah. Banyakkan berdoa dan bermuhasabah pada hari yang penuh barakah ini.

#staystrong #staypositive #staytogether

PL ZY
19 Julai 2021
9 Zulhijjah 1442H

Comments

Popular posts from this blog

DPA 2020 : Apakah Kesudahannya?

Jurnal DPA 2020 - Bhgn 17

Pesan PL 2021 - Bhgn 4