Pesan PL 2021 - Bhgn 8
Alhamdulillah. Sudah seminggu Submodul SPP berlalu. Saya percaya ada di kalangan kamu yang telah dipenuhi jadual harian sepanjang minggu ini dengan padat. Kata orang, tak sempat nak bernafas. Ada juga yang sedang stress kerana tidak nampak sinar tajuk laporan eksekutif yang meyakinkan. Tidak kurang juga yang sedang mengalami konflik dalaman untuk berinteraksi dengan Penyelia Lapangan secara dalam talian. Ada yang telah benar-benar sibuk, ada juga yang terpaksa buat-buat sibuk.
Tidak ada satu ketetapan khusus tentang cabaran apa lagi yang bakal mendatang dalam perjalanan berbaki 4 minggu ini. Sedar tak sedar, 20% daripada perjalanan itu telah kamu tempuhi. Saya kira kamu telah mendapat sedikit gambaran atau kejelasan untuk melalui tempoh yang berbaki. Kalau belum, segeralah tune pemikiran dan perasaan untuk menyesuaikan diri dan menanam tekad untuk melaluinya sepenuh hati.
Ingat, ini adalah sebahagian daripada proses latihan. Kamu bukan dihantar ke Kementerian/Jabatan untuk terus bekerja di sana bagi satu tempoh yang panjang. Kamu diberi ruang masa yang sangat terhad di sana untuk mengutip segala pengalaman yang perlu dalam rangka menyelesaikan misi Program DPA dan menyiapkan diri untuk masuk berkhidmat nanti. Setiap yang dilalui adalah proses pembelajaran. Sentiasa fikirkan, bagaimana 5 minggu ini dapat menggilap sikap, pengetahuan, kemahiran, penyesuaian, ketahanan dan ketangkasan (AKSARA).
Jadi, tanamkan attitude seorang pelajar yang sentiasa dahagakan ilmu dan pengalaman. Bukan lagak seorang pekerja berpengalaman yang dahagakan perhatian dan pelayanan. Jangan harap semua pihak membuat penyesuaian untuk keperluan kamu, kamulah yang perlu proaktif dan sentiasa bersedia melakukan perubahan untuk mendapatkan impak maksimum daripada tempoh 5 minggu ini.
Bahkan beyond 5 minggu ini, sepanjang Program DPA dan setelah dilantik nanti.
Kadang-kadang mungkin akan nampak kekurangan dan kelemahan pada organisasi dan individu, kerana yang sempurna hanya Tuhan. Atau kita sendiri yang tersalah anggapan kerana kurang perhatian dan tidak faham keadaan. Itu memang akan berlaku dalam organisasi. Namun, jangan pula sampai hilang pertimbangan dalam menyuarakan keinginan, apatah lagi hilang budi bahasa dalam bicara. Sehingga lenyap kasih sayang dan penghormatan.
Tetapkan matlamat dan sentiasa bersangka baik akan semua cabaran yang dihadapi. Shape yourself from the tests. Emas itu hanya dapat ditempa apabila ia dibakar dengan dahsyat. Dilema, konflik, tekanan mental dan emosi, semuanya adalah proses untuk menempa diri kamu menjadi insan yang unggul. Hanya jika kamu dapat bertahan, tidak cepat mengeluh dan berputus asa. Tidak cepat melatah, kata orang. Jika diri sendiri tak mahu berubah, masalah dan individu yang menyakitkan kamu mungkin telah berlalu pergi, namun kamu terpaksa hidup dengan diri sendiri yang sentiasa tidak berpuas hati. Menjadi beban bagi bumi.
Lebih 6 bulan telah berlalu pergi dan kamu masih di sini. Adakah ini kamu yang lebih baik, atau tidak? Setelah baki hampir 4 bulan yang bakal ditempuh nanti, adakah kamu ingin menjadi lebih baik dari sekarang? Mungkin ya daripada segi ilmu dan kemahiran. Bagaimana pula daripada segi adab dan budi pekerti? Apalah ertinya pencapaian dan prestasi jika lenyap adab yang tinggi.
Pada akhirnya, orang lain hanya mampu memberi, terima atau tidak, sedar atau tidak, berbalik pada niat dan pilihan sendiri.
Tempuhilah tempoh berbaki SPP dan Program DPA ini dengan dada yang terbuka dan mental yang bersedia. Embrace the challenges and transform yourself. 10 bulan yang berharga ini tidak akan kembali lagi.
Jom. Berhubung lebih ikhlas, berfikir lebih luas, bertindak lebih pantas. Merdekakan diri segala ikatan yang merosakkan.
Don't just be in the journey, create your own story.
PL ZY
30 Ogos 2021
Comments
Post a Comment