Tinta PL 2022 (1) - Sebuah Penerokaan

Program DPA adalah sebuah siri penerokaan dalam hidup kamu. Penerokaan yang panjang.

Kamu akan menerokai potensi-potensi yang lama tersimpan dalam diri sendiri. Potensi yang mungkin pernah digilap namun kian malap. Potensi yang mungkin dulu pernah mekar namun kian layu. Tenggelam bersama panjangnya masa yang berlalu dalam pencarian arah tuju kehidupan. Usang bersama sijil-sijil yang lapuk dalam simpanan.

"Saya cekap bab itu, tapi itu DULU..."
"Saya PERNAH menang, tapi bukan sekarang..."
"Masa saya dah BERLALU..."

Bisikan itu halus, namun berjaya menembus.

Mungkin juga potensi itu memang tidak pernah dibongkar. Ditanam begitu dalam oleh sistem kepercayaan sendiri yang menyekatnya daripada terus tumbuh dan bercambah. Mungkin mati dibajai persekitaran kontang yang tidak pernah mendorongnya untuk hidup subur. Potensi itu ada, namun tak pernah disapa oleh sesiapa.

"Maaflah, saya memang tak pernah dan tak boleh..."
"Saya takut saya diketawakan orang..."
"Bolehkah aku buat ni...?"

Akhirnya, kamu memilih dipenjara di dalam zon selesa.

Hari ini, Tuhan memberi kamu peluang. Peluang untuk terus menerokai potensi diri dan membinanya sehingga ia gagah berdiri. Mencurah tenaga dan masa untuk menggali segala kuasa yang dianugerahkan kepada kamu. Peluang untuk mencari kekuatan yang boleh digembleng sehabis baik untuk berbakti kepada pertiwi dan rakyat yang sedang menanti.

Hanya mereka yang terpilih yang layak menyertai penerokaan ini, dan kamulah salah seorang daripadanya. Ibarat penerokaan angkasa lepas yang angkasawannya ditapis begitu dahsyat, demikian juga penerokaan Program DPA ini hanya untuk mereka yang telah ditapis dengan begitu ketat. Di sini, tiada siapa yang boleh mengatakan aku lebih layak daripada engkau. Semuanya telah terpilih dengan penuh teliti.

Namun, ada benar bait lirik lagu Antara Dua Cinta.

"Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap
Baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman."

Hargailah peluang ini yang telah 6 minggu berlalu pergi. Tinggal 36 minggu sahaja lagi kamu akan berada dalam masa keemasan ini.

Ingatlah, kamu tidak bersendirian dalam penerokaan ini.

Squadron adalah keluarga yang akan terus bersama sehingga ke akhirnya. Menerokai langit biru yang tidak bertepi dan bakal berhadapan dengan pelbagai perkara yang belum pernah dilalui. Menuju destinasi yang diimpikan oleh semua ahli. Dengan tekad yang besar dan niat yang luhur, penerokaan ini harus ditempuhi bersama. Hati harus sentiasa dekat dan bersatu padu.

Ketika ada yang berusaha membina potensi dirinya, kita sorak beri sokongan. Ketika ada yang hilang punca dalam pencarian, kita sabar memberi galakan. Ketika ada yang tersasar dari laluan, kita bimbing penuh perhatian. Jangan pernah ketawa pada kekurangan, kerana mereka yang merasa sempurna takkan pernah berkembang. Jangan takut pada kekalahan, kerana hanya mereka yang tidak pernah berjuang yang tidak akan kalah...dan tidak akan pernah menang.

Keputusan untuk menjadi seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik telah membawa kamu ke medan ini. Medan perjuangan Program DPA. Jelas termaktub di dalam syarat lantikan SPA bagi jawatan PTD: "Hadir dan lulus dengan jayanya Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam anjuran Institut Tadbiran Awam Negara."

Ini adalah sebuah perjuangan yang kamu sendiri pilih untuk lalui sehingga menang. Kecundang bukan pilihan untuk dibawa pulang buat yang tersayang.

Penerokaan ini, tiada siapa yang janjikan bahawa ia begitu mudah, dan tiada siapa yang dapat laluinya untuk kamu.

Kamulah yang harus lalui sendiri dengan bulat hati.

Selamat meneroka bersama-sama.

PL ZY
24 Mac 2022

Comments

Popular posts from this blog

DPA 2020 : Apakah Kesudahannya?

Jurnal DPA 2020 - Bhgn 17

Pesan PL 2021 - Bhgn 4