Tinta PL 2022 (5) - Ilmu itu Cahaya
Selamat pulang berjumpa keluarga yang tersayang.
Pastinya keterujaan kamu sedang tinggi, diselangi keresahan menuju ke SPP. Bercampur baur antara gembira dan risau, antara takut dan harap.
Itulah lumrah. Bersama sebuah kesusahan ada banyak kesenangan. Mungkin datang bergantian, mungkin datang seiringan. Demikian janji Tuhan yang diabadikan bagi insan, sampai ke akhir kehidupan. Seringkali sebuah kesusahan itu mengaburi segala kesenangan yang telah dan sedang kita nikmati.
Setiap sesuatu akan berlaku pada masanya yang ditentukan. Kita perlu kuatkan kesabaran. Kesabaran itu sebahagian daripada tanda syukur. Hanya orang yang tahu menghargai dan berterima kasih yang sanggup tabah menanggung segala jerih perih.
Empat bulan telah menjadi sejarah yang kamu sendiri lakarkan. Yang ditempuh mungkin sama, yang dirasakan berbeza-beza. Pilihan masing-masing telah menentukan pahit atau manisnya kenangan yang akan dibawa. Enam bulan masih berbaki untuk kamu mencorakkan perjalanan ini bersama-sama.
Jalan yang sedang kamu tempuhi ini penuh dengan pengertian. Di sebalik proses penilaian, ada proses pencarian. Iltizam, kesungguhan dan semangat dalam pencarian itulah yang akan menjadikan kamu lebih cemerlang dalam proses penilaian.
Banyak sekali perkara yang perlu dicari. Namun kali ini kita fokus kepada satu perkara sahaja, ILMU.
Ilmu itu cahaya dalam kehidupan. Dengan ilmu kita dapat membangun peradaban. Dengan ilmu kita dapat mengubah kepercayaan. Dengan ilmu kita dapat meraih kekuatan dan membetulkan kesilapan.
Ilmu itu tidak pernah habis dicari. Bagi yang Muslim, kita percaya bahawa segala yang ditempuh itu akan dibalas dengan begitu besar sekali, SYURGA.
Nabi Muhammad SAW telah berpesan, "Barang siapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga." (HR Muslim)
Perjalanan menuntut ilmu itu memang sangat jauh dan panjang. Berliku-liku dan penuh cabaran. Orang yang bersabar dan teguh dalam perjalanan ini akan merasai nikmatnya keluar daripada kejahilan. Dek besarnya nilai ilmu, nilai syurga, laluan meraihnya pasti tidak sepi daripada halangan besar dan memeritkan.
Melangkah kaki ke Kementerian dan Jabatan nanti, kamu akan merasai betapa luasnya ilmu yang perlu diterokai. Sesekali kamu akan merasa janggal di tempat baharu. Risau melakukan perbuatan yang akan dikecam atau kesalahan yang mungkin dipersenda. Demi ilmu, kuatkanlah tekad untuk tetap berusaha. Ilmu akan menerangi perjalanan dan menambah keyakinan.
Ilmu itu bukan untuk dibanggakan. Berapa ramai orang yang berilmu yang merendah hati dan tidak meninggi diri, sedangkan ramai yang jahil selalu merasa hebat sendiri. Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin menunduk. Orang yang merasa tahu semua tidak dapat berkembang pemikirannya kerana tidak banyak yang mahu dipelajarinya.
Jika tempoh 5 minggu sepanjang SPP ini kamu malas berusaha untuk meningkatkan ilmu dan kemampuan diri, tiada siapa yang akan rugi melainkan diri sendiri. Proses pembelajaran di lapangan itu lebih besar dan praktikal berbanding proses pembelajaran teori yang telah dilalui setakat ini.
Ilmu itu didatangi, tidak mendatangi. Ertinya kita tidak harus berpeluk tubuh dan bermalas-malasan untuk menuntut ilmu. Walaupun yang mengajar kita itu jawatannya lebih kecil atau umurnya lebih muda, kita tetap memberi hormat kerana ilmu itu cahaya yang memuliakan insan.
Tanamkanlah azam yang tinggi untuk belajar sepanjang 5 minggu SPP ini. Tuntut ilmu daripada pelbagai sumber yang ada. Jangan malu untuk bertanya. Semoga kematangan akan semakin bertambah dan kesyukuran akan semakin meningkat.
Selamat pulang ke pangkuan keluarga. Hargailah masa-masa yang sangat berharga ini. Semoga terubat segala kerinduan dan kembali nanti dengan lebih pengertian.
PL ZY
16 Jun 2022
Comments
Post a Comment