Tinta PL 2022 (6) - Dimensi Kepimpinan
Alhamdulillah, pilihan raya Penggal 2 telah selesai, dan barisan kepimpinan baharu MPP telah dibentuk hasil pilihan peserta. Tahniah pasukan JPR atas penganjuran yang sangat lancar.
Kepimpinan adalah amanah, sekaligus anugerah. Dalam setiap tugasan yang dipikul, ada hasil yang akan dirangkul. Namun, pada setiap pencapaian yang dimaksud, ada pengorbanan yang bakal dituntut.
Setiap orang pasti akan ditanya, yang memimpin dan yang dipimpin. Tugas seorang pemimpin itu berbakti sepenuh hati, tugas yang dipimpin itu memberi percaya dan sepenuh taat setia.
Tamat sudah saat menabur janji, tiba saat menabur bakti. Tamat fasa membuat pilihan, tiba fasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi.
Program DPA ini adalah sinergi, antara MPP dan AJK sidang, antara MPP dan peserta, antara sidang, sesama peserta, bahkan antara peserta dan SKPMI. MPP adalah perantara ke arah sinergi yang lebih jitu dan padu. Matlamat kita satu, tiba ke akhir garisan dengan penuh kepuasan.
Ayuh diredam segala persepsi dan dibina utuh komunikasi. Ayuh dijalin segala harapan menjadi aspirasi yang dijulang tinggi. Berdiri bukan membawa misi peribadi tetapi matlamat dan kepentingan bersama.
Hakikatnya, semua peserta sedang dibentuk menjadi pemimpin. Pemimpin yang baik adalah pengikut yang baik. Bila kita bertanya, kita harus bersedia menerima. Bila kita mencadang, kita harus bersedia digembleng.
Tahniah atas segala keringat yang dicurah oleh MPP Penggal 1, selamat datang ke laman perjuangan bagi MPP Penggal 2.
Kepada para peserta, jangan biar barisan kepimpinan sendirian membawa Squadron merentas awan. Jadilah angkatan yang bukan hanya menuntut perubahan, namun tampil menyertai perubahan demi kebaikan. Berprestasi dalam apa jua posisi yang diberi.
Selamat meneruskan perjuangan, pahlawan-pahlawan Squadron.
PL ZY
31 Julai 2022
Comments
Post a Comment