Jurnal DPA 2020 - Bhgn 19
4 hari lagi, kita akan menerima surat penempatan, InsyaAllah. Minggu depan kita tidak lagi akan bergelar kadet PTD.
Aku pasti akan merindui tempoh ini. The people, the food, the ambience, the moments.
Seakan tak percaya suatu tempoh 10 bulan sangat hampir berlalu pergi. Begitu pantas masa berjalan seiring memori yang telah tercipta. Suka duka silih berganti bagaikan mimpi.
Semua yang dilalui telah menjadi sejarah yang akan terpatri abadi. Kenangan terukir kemas dalam setiap kepingan gambar, video bahkan wajah teman seperjuangan sepanjang perjalanan ini. Tiada siapa yang dapat merampas memori yang telah kita sendiri cipta dan alami bersama.
Banyak perkara telah kita pelajari. Bahkan masih terlalu banyak perkara untuk dipelajari. 10 bulan ini hanyalah permulaan kepada perjalanan yang lebih mencabar nanti. Ini adalah medan latihan dan kita sebenarnya dalam transisi ke medan peperangan.
Perasaan pun bercampur baur ketika ini. Teruja kerana bakal mendapat surat penempatan yang lama ditunggu-tunggu. Risau kerana tidak pasti ke mana akan dihantar berkelana. Sedih kerana bakal berpisah dengan sahabat-sahabat DPA yang tersayang. Gembira kerana dapat kembali ke pangkuan keluarga yang dirindui sekian lama. Bersyukur kerana masih diberi kekuatan oleh Tuhan untuk bertahan sampai ke saat ini.
4 hari berbaki ini adalah begitu berharga. Perjalanan ini harus kita tamatkan dengan pemikiran dan perasaan yang positif terhadap semua orang dan semua perkara. Semangat harus di tahap puncak pada masa kemuncak.
Hakikatnya, walaupun kita melangkah dalam kisah yang sama, pengalaman dan pembelajaran kita tak mungkin serupa. Perspektif kita berbeza-beza. Impaknya juga tak sama terhadap pemikiran dan emosi.
Setiap orang memiliki masanya dan caranya yang tersendiri dalam proses pembelajaran. Hargailah, dan belajarlah daripada orang lain. Apa yang kita tidak mampu faham mungkin dapat dibantu dengan sedikit suluhan daripada teman seperjuangan.
Minggu Sintesis yang telah berlalu 2 minggu ini telah mencungkil pelbagai bakat dan kebolehan yang terpendam selama ini. Ternyata masih banyak yang belum dapat kita kenal tentang sahabat kita. 10 bulan ini hanyalah permulaan kepada jaringan yang akan terus kita kukuhkan dan jaga pada masa yang mendatang.
Nikmatilah setiap saat yang berlalu ini. Binalah memori indah dan baikilah hubungan sesama kita. Jernihkanlah perasaan yang sedang keruh. Marilah kita keluar bersama-sama daripada Program DPA ini dengan perasaan bahagia dan puas.
Puas kerana kita tahu we did the best and we did it our way.
Never underestimate the potential that we have. We are yet to release them all.
ZY
16 November 2020
Comments
Post a Comment