Jurnal DPA 2020 - Bhgn 20
Sudah 5 hari berlalu sejak Program DPA INTAN Tahun 2020 selesai. Hari ini aku baru berkesempatan untuk membuat sebuah coretan terakhir bagi siri Jurnal DPA 2020.
20 bahagian tulisan ringkas ini telah merentas pengembaraan sejak tayar bas bergolek ke Program Integrasi Kumpulan pada 20.01.2020 sehingga saat menerima surat penempatan pada 20.11.2020.
Bahagian 12 dan 13 yang aku tulis di dalam buku nota semasa modul Orientasi Pertahanan Negara telah hilang tidak dapat ditemui sehingga kini (Alhamdulillah dah temui semula April 2021). Biarlah ia menjadi misteri dan kenangan yang aku simpan sendiri. Sebuah penulisan yang aku tulis dengan sepenuh perasaan dalam keadaan sebak di Pusat Latihan ATD Port Dickson, sambil mengenang perjuangan wira-wira negara. Mungkin penulisan tersebut akan muncul kembali jika ditakdirkan.
Aku mulakan penulisan Jurnal DPA ini dengan harapan untuk mengutip segala pengalaman dan perasaan berharga sepanjang menjadi Kadet PTD dan menuangkannya dalam tulisan yang dapat dibaca sampai bila-bila. Semoga menjadi inspirasi buat diri sendiri nanti.
Sungguh, 10 bulan yang telah berlalu, bagaikan sebuah mimpi. Segala sepak terjang dan liku-liku perjalanannya benar-benar telah berlaku dengan begitu pantas. Tidak dapat aku rakamkan segalanya dalam tulisan-tulisan ini. It was a life changing journey for those who want to learn. Berpeluang bertemu dengan a lot of amazing friends yang sangat supportive dengan perwatakan yang pelbagai.
10 bulan berlalu dengan modul akademik dan modul luar yang silih berganti dalam suasana Covid-19 yang tidak menentu. Mental dan emosi teruji dengan begitu dahsyat terutamanya menjelang pengakhirannya. 2 bulan berkampung di INTAN dengan jadual harian yang padat dan tidak dapat bertemu keluarga disebabkan situasi yang ada. Keperitan itu tak mungkin dapat dijelaskan oleh mereka yang tidak merasainya.
Sepanjang perjalanan DPA, ramai yang telah unlock and discover achievements and potentials, mencipta rekod-rekod peribadi yang tersendiri, menghadapi segala ketakutan diri dan mengatasinya dengan penuh bergaya. Bukan untuk dibangga-bangga kepada orang lain, tetapi untuk menempa diri menjadi insan yang lebih bersedia berkhidmat untuk negara. To serve the people.
Aku belum berpengalaman sebagai seorang PTD, kerana perjalanan ini baru sangat bermula. Apa yang dapat aku katakan adalah perjalanan untuk dilantik menjadi seorang PTD bukanlah sebuah perjalanan yang mudah. Mentaliti harus kukuh dan jiwa harus kental. A lot of challenges await.
Bagi aku, ini bukan laluan untuk mencari nama, pangkat, kuasa dan harta, walaupun laluan itu mungkin terbuka. Ia adalah sebuah journey untuk membantu orang lain, berkhidmat untuk kepentingan umum. Berkorban masa dan tenaga untuk memudahkan urusan orang lain. Bukan semua yang akan muncul nanti menjadi nama yang disebut-sebut. Ramai unsung heroes yang telah dan akan lahir menjadi nadi kepada keutuhan negara.
Antara agenda besar program DPA adalah untuk menerapkan dan mengukuhkan elemen AKSARA: Attitude, Knowledge, Skill, Adaptability, Resilience, Agility. Semuanya harus digarap secara bersepadu dalam mencorakkan seorang pegawai yang boleh diharapkan untuk menjadi tunggak kepimpinan negara. Untuk menempa elemen-elemen tersebut, program ini dirangka menjadi begitu intensif dan unik, padat dan dinamik. Kadangkala menyakitkan, namun mendewasakan.
Sekalipun 10 bulan telah berlalu dengan begitu intensif dan membentuk nilai-nilai yang baik, masih banyak ruang pengukuhan yang perlu dikerjakan secara berterusan sehingga tamat perkhidmatan. Inilah semangat yang harus terus mekar dalam jiwa sebagai seorang penjawat awam, kerana kita memegang amanah bangsa. Taat setia, korban tenaga, bela bangsa dan negara.
Kepada yang benar-benar menanam cita-cita untuk menjadi seorang PTD, kuatkanlah azam tersebut dan bersihkanlah niat. Jangan terpukau dengan jawatan dan harta. Jika diberi peluang, masuklah dengan penuh syukur dalam keadaan bersedia untuk diajar dan menimba segala pengalaman dengan mentaliti yang sentiasa positif. Berusaha menjadikan diri lebih baik sepanjang masa, bukan berusaha menunjukkan diri lebih hebat dan cuba menjatuhkan orang lain.
Jika tidak diberi peluang, cuba lagi. Jangan cepat putus asa atau cepat membuat tuduhan bahawa laluan ini hanya boleh ditembusi dengan kabel-kabel. Aku telah mencuba sejak tahun 2015, gagal di peringkat temuduga 2 kali, gagal di peringkat PAC sekali, dan hanya berjaya setelah kali keempat mencuba. Ramai juga yang telah melalui pengalaman yang sama. Inilah ujian pertama melihat kesungguhan dan ketekunan.
Kepada 400 warga Bitarawangsa, permata bangsa, perwira setia, tetaplah dengan kerendahan hati, kesantunan budi, dan keunggulan peribadi. Demi Ilahi, demi ibu pertiwi.
Sentiasa selangkah di hadapan, dijadikan pedoman.
Itulah iltizam kami peserta, diploma pengurusan awam.
Keteguhan sahsiah dan pekerti, lambang keunggulan PTD.
Kesopanan serta kesusilaan, jadi keutamaan.
Bait lagu itu akan terus tersemat di sanubari.
ZY
25 November 2020
Comments
Post a Comment