Pesan PL 2021 - Bhgn 5
Pesan PL 2021 - Bhgn 5
Lebih sebulan saya tak membuat coretan buat Batalion. Harapnya semua dalam keadaan baik di lokasi masing-masing.
Duduk di rumah semasa DPA mungkin sebuah kelegaan terutama yang punya isteri dan anak kecil. Namun cabarannya tetap ada. Bahkan besar bagi sebahagian orang. Saya boleh memahami kerana pernah juga melalui 3 bulan Program DPA di rumah pada tahun lepas.
Saya masih ingat lagi antara ungkapan yang disebut oleh YBhg. Tan Sri Mohd Khairul Adib bin Abd Rahman, KPPA, ketika saya melapor diri bertugas di JPA pada November 2020, "the only constant is change".
"Change" adalah sesuatu yang boleh jadi menyakitkan bagi kita. Kita perlu masuk kepada keadaan yang baharu yang menyukarkan dan keluar dari zon selesa. Apabila kita ingin meraih sesuatu yang hebat, perubahan yang perlu kita buat juga bukan sedikit. Ini memerlukan kepada kesediaan yang sangat tinggi.
Apatah lagi apabila berhadapan dengan satu situasi baharu yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini, bahkan tidak pernah dialami dunia. Unik. Memerlukan kepada pendekatan yang berbeza dan pelbagai dimensi.
Tidak ada sesiapa yang boleh kita tuding untuk dipersalahkan. Situasi ini memberi impak kepada semua pihak.
Jika kita merujuk kepada World Economic Forum's The Future of Jobs Report, kita akan mendapati antara kemahiran yang sangat diperlukan menjelang 2025 adalah complex problem solving and critical thinking.
Satu masalah yang berlaku dalam zaman ini, tak dapat dibandingkan secara langsung dengan ketika ia berlaku pada zaman yang lepas. Akses kepada maklumat dan teknologi telah berubah. YBhg. Tan Sri KPPA selalu menekankan tentang "speed". Jika kita tidak bersedia berubah dan mengikut kelajuan zaman, kita akan menjadi tidak relevan lagi.
Sama ada kita ingin kekal berada pada takuk sedia ada, atau meningkatkan kapasiti diri ke tahap yang lebih baik, itu pilihan kita. Namun kita perlu ingat bahawa segala yang berada di sekeliling akan berubah walaupun kita memilih untuk tidak berganjak.
Semuanya bermula dengan perubahan diri sendiri. Kesediaan untuk belajar perkara-perkara baharu dan menyesuaikan diri dengan suasana baharu. Kesediaan untuk mencabar diri menggalas tanggungjawab yang akan menggilap potensi diri. Belajar kemahiran baharu.
Bersempena Pilihanraya MPP Penggal 2 yang semakin hampir, semoga berjaya saya ucapkan kepada yang berani tampil mencari cabaran baharu.
Apparently, many people want change, but not many people are willing to change. Ramai suka menjadi pengulas di luar gelanggang dan pada hakikatnya tidak berani masuk ke dalamnya untuk melakukan perubahan.
Suka atau tidak, skim perkhidmatan yang akan kamu sertai ini adalah sebuah skim yang akan membawa kamu memimpin perkhidmatan awam.
Jika bukan sekarang kamu tampil dan belajar untuk memimpin, kamu tetap juga perlu memimpin nanti. Dan mungkin pada saat itu, people are not that forgiving. Ambillah peluang ini untuk mencari bekal menuju alam perkhidmatan.
Ingatlah, DPA adalah medan latihan. Latihan untuk menjadi seorang insan yang bersedia berkhidmat untuk negara sebaiknya.
You are not here to graduate as you, but as a better you.
Embrace the changes, take up the challenges.
PL ZY
3 Jun 2021
Comments
Post a Comment