Jurnal DPA 2020 - Bhgn 3

"Saya tak percaya yang kamu semua baru berkenalan satu hari."

Sudah seminggu sejak ungkapan itu aku dengar daripada Pak Let, namun masih terngiang-ngiang dalam sanubari. Satu ekspresi yang tuntas menggambarkan suasana dan keadaan yang kami lalui sepanjang Group Integration.

407 personaliti daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama. 3 pemegang PhD, 86 pemegang ijazah sarjana, 318 pemegang ijazah sarjana muda. Namun semuanya seakan blended dan sukar dilihat titik beza. Berkumpul dalam satu suasana yang penuh dengan kasih sayang dan persaudaraan.

Mungkin kerana kasih antara kami semua baru bermula dan berputik sehingga yang kelihatan hanya yang indah belaka, atau jiwa kami begitu besar dan serasi sehingga perbezaan menjadi modal kedekatan.

Anugerah berada di laluan ini dah cukup bermakna dan aku syukuri, anugerah bertemu dengan jaringan yang luar biasa ini berkali-kali lebih berharga.

Inilah wajah-wajah yang bakal menemani kayuhan selama 10 bulan ini, sebagaimana kami telah setia bersama-sama mendayung rakit sampai ke titik akhir.

Kepenatan mendayung mampu ditempuh gagah, ketika mendengar laungan sahabat penuh semangat, "Saaaatuuuu.. Duuuaaaa!"

Terlalu singkat 3 hari untuk mengenal setiap wajah dan nama. Jujurnya, banyak kali dah tanya nama orang yang sama. Ulang semula soalan tentang kerja, tentang keluarga.

Tak selesa rasanya duduk melihat wajah asing tanpa cuba berinteraksi. KPPA pun dah pesan, it is your job to be busy body. PTD is people man.

Momentum persaudaraan yang indah ini semoga terus bertahan sampai ke akhir kebersamaan di INTAN, bahkan merentas tempoh waktu ini, ketika nantinya kami harus berterbangan ke jabatan-jabatan dan kementerian.

Saat ini pasti dirindui. Inilah nukleus kepada jaringan pada skala yang lebih besar suatu hari nanti.

"Pilihlah, diri kamu untuk kepentingan kamu sendiri,

atau diri kamu untuk berguna kepada orang lain", pesan KPPA akan sentiasa tersemat, bersama wajah-wajah ini yang telah terpatri.

ZY
30 Jan 2020
dalam barisan ambil cap Passport SKPMI.

Comments

Popular posts from this blog

DPA 2020 : Apakah Kesudahannya?

Jurnal DPA 2020 - Bhgn 17

Pesan PL 2021 - Bhgn 4