SIKAP MULIA BERMULA DI SINI

Semoga berjaya kami ucapkan kepada semua ahli sidang Lasykar yang akan menempuhi peperiksaan Government Administration and Public Policy Management.

Cuba kita bayangkan, dalam tempoh 10 ke 20 tahun yang akan datang, apakah yang bakal kita lalui dalam perkhidmatan awam? Di manakah kita akan berada?


Mungkin ada di antara kita yang bakal ditempatkan di posisi yang sangat *strategik* dan penuh dengan godaan dan tawaran habuan yang besar. Ada pula yang bakal memegang *rahsia besar* negara yang perlu dipertahankan dan disimpan kukuh.


Ada juga yang bakal mewakili Malaysia untuk menyuarakan dan mempertahankan kepentingan negara. Atau turut serta dalam proses membuat keputusan-keputusan yang penting dan besar demi keselamatan negara.


Tiada siapa yang tahu apakah laluan yang menanti di hadapan.


Apa juga peranan yang bakal kita pegang, semuanya harus disertai dengan sikap yang mulia. Ia perlu dibentuk sejak awal dan diperkukuhkan sepanjang perkhidmatan.


DPA inilah medan latihan kita. Di sinilah tempatnya untuk kita menempa dan membentuk sikap diri yang baik supaya kita melangkah masuk ke alam perkhidmatan nanti dalam keadaan yang lebih bersedia, lebih kental dan lebih bertenaga.


Kita harus menyemai sikap positif dan matang dalam menilai sesuatu, bersungguh-sungguh dan tidak mengambil lewa terhadap semua perkara, berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat, sentiasa ke hadapan dalam membantu orang lain, cepat merespons dan bertindak, dan pelbagai lagi sikap yang mulia.


Sentiasa mementingkan diri, prejudis dan suka membuat andaian negatif, meremehkan orang lain, suka berkongsi maklumat rahsia, cepat berputus asa, tidak bertanggungjawab, suka menceritakan keburukan orang lain, dan pelbagai lagi sikap yang tidak baik harus kita kikis.


Adakah kita berpuas hati dengan sikap yang kita ambil selama ini?


Mari kita merenung dalam, apakah sikap yang kita ada pada hari ini benar-benar menggambarkan tekad yang sering kita lantunkan, "Kitalah benteng Malaysia"_?


Amanah yang bakal kita galas itu besar,

Teguhkan sikap mulia agar kita tidak tersasar.


MPP PROGRAM DPA INTAN

PENGGAL 2 TAHUN 2020


Comments

Popular posts from this blog

DPA 2020 : Apakah Kesudahannya?

Jurnal DPA 2020 - Bhgn 17

Pesan PL 2021 - Bhgn 4