Tinta PL 2022 (2) - Keberanian Melangkah

Tanpa keberanian, mimpi tidak akan pernah menjadi sebuah kenyataan.

Keberanian telah membawa kamu ke sini. Meninggalkan pekerjaan yang bergaji lebih besar sedangkan komitmen kewangan bulanan keluarga masih tinggi. Meninggalkan bidang yang telah lama kamu tekuni ke satu dunia yang berbeza sama sekali. 

Walaupun hujungnya belum pasti, kamu sanggup tempuhi tempoh 10 bulan yang perit ini. Meninggalkan pasangan yang tidak pernah sama sekali berjauhan. Meninggalkan anak-anak yang masih perlu dibuai dan disusui, atau isteri sedang sarat dengan cahaya mata pertama yang lama dinanti.

Semuanya demi sebuah mimpi yang ingin kamu jadikan kenyataan.

Setelah hampir dua bulan berlalu, adakah keberanian itu masih berakar umbi? Atau malap diselubungi realiti yang sedang kamu lalui? 

Dahulu, mungkin kamu paling petah berkata-kata di pejabat dan mesyuarat. Di sini, kamu melihat begitu ramai insan yang lebih hebat dan berbakat. 

Dalam realiti dahulu, kamu mungkin seorang pengurus yang sangat disegani. Dalam realiti kini, ternyata lebih ramai yang setanding bahkan lebih menyerlah dan cepat dikenali.

Lalu kamu merasa canggung untuk menjadi diri sendiri dan menonjolkan kemampuan diri. Terasa kerdil di tengah-tengah lautan manusia berbisa. Perlahan-lahan kamu mengundur kaki ke belakang membina kepercayaan baharu yang menghantui, "aku tidaklah sebaik mereka."

Ketakutan itu semakin bergelora setiap pagi Isnin. Ketika kamu mungkin harus berhadapan dengan selautan manusia yang telah menenggelamkan segala kehebatan yang kamu miliki, "janji lepas cukuplah..lebih-lebih nanti kena kecam", bisik hatimu. 

Ke manakah perginya jiwamu yang penuh berani melangkah ke alam ini meninggalkan segala keselesaan yang pernah dirasai? Ke manakah hilangnya diri 'PAC' kamu yang penuh keyakinan dan kesungguhan? Mungkinkah terlupa bahawa saringan masih lagi sedang berjalan? 

Adakah ketakutan ini akan mencorakkan kehidupan kamu yang lebih lapan bulan berbaki di sini?

Mungkin rasa inferior membuatkan kamu memilih berada di zon yang selesa. Namun harus diingat, zon selesa belum tentu zon yang selamat. 

Apa yang kamu percaya, belum tentu menggambarkan apa yang kamu benar-benar mampu buat. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. 

Impian tidak akan subur dengan keberanian yang lebur.

Ayuh melangkah lebih gagah. Terbang lebih kencang. 

Salam Ramadan, bulan perjuangan.

PL ZY
3 April 2022
1 Ramadan 1443H
RnR Temerloh

Comments

Popular posts from this blog

DPA 2020 : Apakah Kesudahannya?

Jurnal DPA 2020 - Bhgn 17

Pesan PL 2021 - Bhgn 4