Tinta PL 2022 (4) - Having Each Other
Program DPA ini adalah sebuah perjuangan yang akan menumpahkan banyak keringat dan air mata. Air mata mengalir bersama isi hati yang tersirat dan tak mampu diungkapkan oleh kata-kata.
Banyak perkara yang telah dan akan terus menguji daya ketahanan serta ketabahan kamu. Baik modul yang penuh dengan tugasan atau program dan aktiviti yang tidak bertemu noktah. Back to back. Masa rehat yang panjang dan tenang belum kunjung tiba dalam jadual yang menuntut komitmen hampir setiap waktu.
Semangat yang pada awalnya dikumandangkan boleh jadi semakin pudar dalam suasana yang mula subur dengan keluhan. Seolah-olah dua bulan ini adalah saat paling perit sepanjang hidup. Mengubah seorang jaguh korporat dan universiti kepada insan yang mula pasrah dan menyerah.
Tampil segar dan ceria secara luaran tetapi lesu secara dalaman. Burnout menjadi slogan yang dikongsi di sana-sini. Mungkin rasa macam nak burst.
Tangisan itu boleh menjadi ubat kepada keperitan yang dialami. Melepaskan segala beban yang ditanggung oleh pemikiran dan jiwa. Kadang-kadang hanya hati meraung tak bersuara, tak tahu ke mana ingin dilontarkan segala jeritan dan kemarahan.
Situasi ini, mungkin bukan kamu yang alami. Namun jika ya, ingatlah bahawa kamu tidak berseorangan dalam perjuangan ini, melainkan kamu memilih berjalan sendiri tanpa peduli akan teman di kanan kiri.
'Each other'. Itulah permata paling berharga yang kamu punyai sepanjang proses kehidupan dalam Program DPA ini. Jika itu tidak kamu hargai dan nikmati, segala beban akan sentiasa dipikul sendiri. Segala kesakitan akan sukar untuk dirawat.
Ahli Squadron adalah ibarat sebuah tubuh yang saling memerlukan. Kampus bukanlah pemisah kasih, sidang bukanlah pemutus silaturrahim, jawatan bukanlah untuk dibiar ditanggung sendirian tanpa sokongan. Setiap 399 warga Squadron adalah saudara dekat yang perlu kamu hargai dan ambil peduli.
Tidak ada satu insan yang lebih superior berbanding yang lain. Yang ada hanyalah skop tugas yang masing-masing perlu sempurnakan pada posisi yang diamanahkan. Mungkin di atas, mungkin di bawah. Mungkin di hadapan, mungkin di belakang.
Jangan sampai rasa tidak puas hati membuatkan hilang rasa hormat, rasa penting diri menghilangkan nilai setiakawan, atau rasa penat menghilangkan rasa ambil berat.
Everyone is struggling. Everyone is trying...very hard. To adapt, to regain energy, to rejuvenize spirit.
Jangan biarkan sahabat kamu terkontang-kanting menanggung segala beban sedangkan kamu enak duduk di kerusi belakang memuntahkan segala kritikan dan ketidakpuashatian. Jangan biarkan sahabat kamu menangis sendirian memikirkan tentang kebajikanmu, sedang kamu terus menyakiti dengan perbuatan dan kata-kata sindiran.
2 bulan yang panjang telah berlalu. 8 bulan yang jauh lebih panjang bakal ditempuh. Kesepaduan Squadron akan menjadi pembakar semangat yang sihat dan sentiasa subur. Kasih sayang dan ukhuwah antara setiap ahli Squadron akan meredam segala keperitan yang bakal ditempuh bersama.
Ingatlah, ketika kamu merasa sakit, sahabat kamu boleh jadi sedang merasa lebih sakit. Kamu tidak menang, ketika sahabat kamu kalah. Kamu tidak tenang, ketika sahabat kamu lelah.
Kamu menang ketika semuanya berjaya terbang. Ketika tidak ada air mata yang mengalir di pipi sahabatmu melainkan kamu sentiasa ada untuk mengesatnya, menenangkan hatinya dan selalu berkata, "you got this..I'm always there for you".
"Don't worry, we are in this together"
"Stay strong, our glorious time is coming"
"Let me help you through this".
Dikisahkan dalam satu padang ragut yang luas, seekor harimau tidak pernah berjaya memakan 3 ekor kambing yang sentiasa bersatu melawan serangannya. Suatu hari, si harimau berkomplot dengan 2 ekor kambing untuk memakan seekor rakannya, supaya mereka berdua mendapat habuan yang lebih luas di padang ragut. Lalu mereka bersetuju, dan sahabat merekapun terkorban.
Lama kelamaan, si harimau lapar lagi dan berkomplot dengan seekor kambing untuk membiarkan sahabatnya dimakan. Si kambing ini bersetuju. Maka terkorbanlah sahabatnya.
Akhirnya, ketika si harimau ingin memakan kambing yang terakhir, ia berkata "siapa yang dapat menolongmu sekarang?". Si kambing tertunduk menjawab,
"Sesungguhnya aku telah mati, ketika aku membiarkan sahabat pertamaku terkorban".
Jangan sampai ada yang dibiarkan terkorban di dalam Squadron. Jangan pula ada yang mengorbankan hati sahabat sendiri dengan tindakan dan kata-kata. Biarlah kita saling berkorban untuk satu sama lain demi meraih kejayaan bersama-sama.
Tangisan itu dapat meredam kesakitan. Namun, ia harus disusuli dengan tindakan penambahbaikan. Jika menangis kerana kerja, buatlah dengan lebih baik. Jika menangis kerana kawan, cantikkan lagi komunikasi. Jika menangis kerana denda, jangan ulang langgar peraturan.
Yang paling penting, ingat..kita ada Tuhan dan Dia tahu segala isi hati. Merintihlah penuh khusyuk di sepertiga malam pada akhir Ramadan ini.
Salam perjuangan.
Salam 10 hari terakhir Ramadan.
PL ZY
23 April 2022
21 Ramadan 1443H
Comments
Post a Comment