Tinta PP 2022 (7) - Keseimbangan adalah Pencapaian
31 minggu telah berlalu. Hanya 11 minggu berbaki untuk kamu menghabiskan perjuangan murni ini. Perjuangan menyiapkan diri untuk berbakti kepada insan.
Kehebatan yang telah kita raih akan luput jika manfaatnya tidak dapat dinikmati oleh manusia lain. Segala yang kita perjuangkan tidak patut terhenti pada agenda peribadi. Matlamat yang jauh dan besar akan membantu kita konsisten dan bertahan dalam kesukaran.
Keseimbangan adalah sebuah pencapaian bagi kita. Sesuatu yang seimbang akan stabil dan boleh bertahan lama. Dek kerana besarnya nilai keseimbangan, maka besar jualah pengorbanan yang harus ditanggung dalam meraihnya.
Pencapaian yang bagus dalam kelas-kelas akademik belum menjamin seseorang mampu melaksanakan kerja secara efisien. Ia perlu disulam dengan pengalaman dan latihan praktikal yang berterusan.
Tubuh badan yang sihat dan kuat belum menjamin seseorang mampu bertahan diasak dengan latihan fizikal yang intensif, ia perlu didokong oleh mental yang kuat dan jiwa yang penuh bersemangat waja. Disempurnakan pula oleh sikap yang positif dan betul.
Populariti dan jawatan yang disandang belum menjamin kecemerlangan dalam kepimpinan. Ia harus dibajai ilmu pengetahuan yang sentiasa ditingkatkan dan kesediaan diri untuk terus belajar perkara baharu.
Hubungan baik dengan bos, harus disusuli pula dengan hubungan baik dengan rakan-rakan sekerja dan orang-orang yang kita pimpin.
Sebagaimana hubungan baik sesama manusia yang harus diawali dengan hubungan baik dengan pencipta.
Kita tidak harus mendabik dada berbangga dengan sebuah kehebatan yang kita miliki, kerana ternyata kita punya banyak kelemahan yang memerlukan bantuan orang lain untuk menyempurnakannya.
Juga jangan terlampau taksub dengan kumpulan atau rakan karib yang kita rasa selesa dan hebat bila bersama, sehingga menidakkan kelebihan yang ada pada kumpulan atau individu lain yang sebenarnya boleh kita pelajari.
Untuk mencapai keseimbangan, kita perlukan banyak latihan. Untuk melalui latihan dengan berkesan, kita perlu banyak berkorban. Ada values yang telah lama kita imani, yang perlu kita letakkan pada konteks yang betul berdasarkan values baharu yang kita pelajari.
Pada akhirnya, keseimbangan yang kita raih adalah sebuah pencapaian yang besar dalam hidup ini. Dengan keseimbangan itu kita akan menyebarkan manfaat yang besar kepada umat manusia.
11 minggu yang berbaki ini, lihatlah aspek yang masih lompong di dalam diri. DPA pasti akan berakhir, namun pembelajaran tidak akan pernah terhenti. Jika langkah yang kamu mulakan itu murni, InsyaAllah pasti terbimbing menuju ke destinasi.
PL ZY
18 September 2022
Comments
Post a Comment