Tinta PP 2022 (9) - Inilah Harinya
Inilah harinya. 1 Disember 2022.
Hari yang aku tunggu-tunggu sejak memulakan perjalanan ini pada 14 Februari 2022. Betapa perasaanku bercampur baur dan tak dapat nak diungkap secara jelas dengan kata-kata. Keterujaan luar biasa yang tak dapat nak dibendung lagi. Begitu dalam mengusik hati.
Terbayang senyuman bahagia si dia menyambut aku kembali ke pangkuan nanti dengan pelukan erat penuh kesyukuran. Terbayang pancaran kebahagiaan si kecil yang berlari untuk kudakap melepas rindu. Aku bertahan selama ini demi membawa pulang kepuasan ini.
Aku ingin segera pulang ke pangkuan keluarga di kampung yang tidak putus berdoa dan menaruh harapan. Terlihat kebanggaan yang bersinar jelas di wajah mereka. Hari ini, aku merasa diri menjadi insan yang paling dihargai. Aku merasa sangat bahagia dapat menunaikan harapan mereka.
Segala lelah berkubur sudah. Terkenang kembali segala keperitan yang kutanggung di Port Dickson, hutan gelita yang menemani di Ulu Kinta, gelora di Lumut yang menggoncang jiwa, api panas di dalam kontena. Semuanya seakan menyatu menjadi sebuah kemanisan yang mengukir senyuman penuh kepuasan. Tidak sangka aku dapat melepasinya pada masa itu.
Aku melihat pula setiap wajah di sekelilingku. Sebak mengenangkan bahawa detik bersama ini akan berakhir setelah masing-masing meninggalkan pagar INTAN sebentar lagi. Masih segar suasana kelas sedang berlangsung dengan mereka. Segala gelak tawa, konflik, tangisan, pasti akan kurindui. Segala program dan aktiviti yang kami lalui bersama sepanjang perjalanan ini pasti akan dikenang.
Aku seakan tidak percaya bahawa aku telah sampai ke garisan penamat ini. Detik yang aku ingin segera berlalu pergi sebelum ini, hari ini betapa aku merasa berat pula hati untuk pergi meninggalkannya. Perjalanan ini hanya berlaku sekali, dan ia telahpun berakhir. Aku akan berangkat ke dalam realiti yang baharu.
Perasaan yang bercampur baur ini mengusik diriku, membuatkan mataku berkaca-kaca, menanggung suatu perasaan yang tak dapat nak diungkapkan. Inilah harinya yang aku tunggu-tunggu selama ini. Inilah harinya yang membuatkan semangatku tetap membara sepanjang perjalanan.
...
Aku terjaga. Terlihat wajah rakan sebilikku yang sedang tidur lena.
Mimpi itu terasa begitu jelas dan dekat. Seolah-olah inilah harinya.
Pagi ini, aku bangun menanam tekad. Aku akan jadikan hampir 3 minggu ini detik yang paling bermakna dalam perjalanan ini. Aku akan nikmati sepenuhnya segala pancaroba. Aku akan hargai sepenuhnya rakan-rakan seperjuangan. Aku akan beri sepenuhnya hingga hari itu tiba.
Aku tidak akan berhenti berusaha, sehingga aku benar-benar berjaya.
PL ZY
14 November 2022
Comments
Post a Comment