Jurnal DPA 2020 - Bhgn 11

Hari kelima di OPN. Baru sempat membuat sebuah coretan kenangan. Sejak tiba di Kem ATD Port Dickson 2 Mac lalu, masa terasa berjalan begitu laju. Banyak wajah yang seakan tidak kelihatan sepanjang 5 hari ini.

2 hari kebelakangan ini baru terasa ada sedikit masa untuk berbual-bual dengan ahli sidang sendiri. Malam inipun ada kelapangan sedikit selepas urusan pentadbiran untuk road relay besok.

Berkumpul pantas di hadapan asrama, berkejaran selepas keluar baris untuk makan, masa mandi dan basuh baju yang tidak menentu, press support sambil menunggu rakan platun lain yang belum sampai di atas tar panas yang begitu 'nyaman', half loreng berlarian mengelilingi bangunan membayar 'harga' makan tengahari di bawah terik matahari, berkawad ke 'sauna' ilmu, beratur menyantuni mesin gedegang atau mencicip aiskrim Malaysia RM1... Semuanya menjadi begitu serasi dalam tempoh 5 hari ini.

Syukurlah tiada smart phone, semuanya dapat tidur dengan aman saat memuat turun ilmu di kelas tanpa risau akan paparazzi. Bagi yang bernasib baik, dapatlah secalit dua minyak cap kapak di muka oleh Staf Tarmizi. Nyaman. Atau dapat best shot DSLR staf Asri. Baik punya nganga. 

Mata dipaksa buka namun begitu sukar memahami butir kata penceramah kerana begitu besar 'konflik' dalam diri. 

Pesan Dr. Al Azharri Siddiq daripada MKN sungguh memberi kesan, "kita berkhidmat untuk negara, bukan warna kulit", terutama ketika masing-masing merasakan warna kulit kian berubah di sini. Garing. Ramai juga jadi pelakon teater Cina. 

7 hari lagi berbaki untuk menikmati saat yang sangat berharga dalam hidup ini. Merasai disiplin dan cara hidup para pejuang negara secara dekat dan real walaupun yang diberi rasa hanyalah lebih kurang 1 per 20 daripada realiti sebenar. 

Mungkin kerana telah lamanya aman negara kita, kadangkala nilai pengorbanan ribuan barisan pertahanan di perbatasan negara 24/7/365 seakan-akan tidak kita rasai dan peduli. 

Perkongsian oleh Col. Abdul Latif Harun tentang KESBAN begitu membangkitkan rasa patriotik yang tinggi dan penghargaan luar biasa kepada para pemimpin dan barisan pertahanan silam. 

Betapa sebuah inisiatif pembangunan yang strategik dapat menyatukan rakyat dalam menentang musuh negara. Menggembleng segala sumber yang ada demi negara tercinta. 

Segala titisan peluh yang mencurah bagai hujan, saat berjemur dan berlari, atau bertahan pada posisi normal dan diamond press support sepanjang berada di sini, semoga dapat menancapkan rasa syukur atas nikmat keamanan, dan rasa penghargaan atas keberadaan barisan pertahanan negara. 

The more you sweat, the less you bleed in war. 

"Dapat arahan bangun, bangun dengan cepat..... Bangun!" 

"Boleh tak boleh ni? Kadet INTAN... Faham tak faham?" 

ZY
6 Mac 2020

Comments

  1. boleh tuju lagu dan tuju sajak? lama tak baca coretan2 puisi ZY ni..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

DPA 2020 : Apakah Kesudahannya?

Jurnal DPA 2020 - Bhgn 17

Pesan PL 2021 - Bhgn 4