Jurnal DPA 2020 - Bhgn 13
Terasa rindu akan anak-anak dan isteri. Baru 6 hari hilang perhubungan semenjak berada di OPN ini. tak dapat nak bayangkan kerinduan yang ditanggung oleh barisan pertahanan di perbatasan negara yang berbulan-bulan berjauhan dengan keluarga.
Bonda senyum riang
menerima bahtera merdeka
putera puteri sayang
sedang berjuang
Sayu menyanyikan lagu ini. Cuba menjiwai segala perasaan yang terkumpul dalam bait-bait liriknya yang mendalam.
Jalan menuju kemerdekaan kita hari ini penuh dengan kisah pengorbanan wira bangsa. Sebahagiannya tidak pernah didendang. Namun darah mereka telah menjadi baja kepada suburnya keamanan hari ini.
Mempertahankan kemerdekaan ini setelah ia diraih juga tidak sepi daripada gugurnya para pejuang tanah air. Tersentuh apabila Kol. Abdul Latif Harun menyebut 3 perkataan sahaja yang menggambarkan keadaan ketika KESBAN dilaksanakan dalam rangka memutihkan kawasan komunis, "blood, shed and tears".
Sekitar 60 jentera berat untuk tujuan pembangunan pernah dimusnahkan oleh komunis ketika itu. Beliau sendiri telah kehilangan ramai sahabat dalam usaha tersebut. Ada juga yang kehilangan anggota badan.
Mereka telah pergi membuktikan kecintaan pada tanah air. Demi keamanan generasi seterusnya iaitu kita. Janganlah pula kita sendiri kembali terjun ke dalam sangkar penjajahan.
Lt. Kol. Shamsul Nizam daripada cawangan perancangan & pembangunan markas TD ada menyebut, perang yang akan kita hadapi pada era ini adalah "musuh tidak akan tahu bahawa diirnya sudah ditawan atau dimusnahkan."
Bercerita tentang peperangan di medan yang terlampau besar mungkin terlampau samar dan idealistik. Aku rasa aku harus bermula dengan bermuhasabah diri dan menilai jajahan pemikiran, jiwa dan cara hidup yang sedang aku jalani.
Kemudian membetulkan sudut pandang, sikap dan tindakan dalam menghadapi segala isu yang sedang berlaku di sekeliling. Boleh jadi kerana jajahan musuh yang telah berlaku secara halus, aku sendiri menjadi ejen pemusnah kepada keharmonian negara.
Dengan peranan PTD yang bakal aku tanggung nanti, bagaimanakah seharusnya aku meletakkan posisi aku sebagai pejuang, dan bukan perosak tanah air?
Jiwa dan raga
buktikanlah pada nusa bangsa
supaya negara maju jaya
aman merdeka
Duhai ibu pertiwi
putera puteri datang sujud bakti
demi menunaikan
sumpah dan janji
ZY
7 Mac 2020
Comments
Post a Comment