Jurnal DPA 2020 - Bhgn 14

"Bilakah semua ini akan berakhir?"

Persoalan yang ligat bermain dalam pemikiran kami. Tiada jawapan yang pasti. Angka positif COVID-19 semakin bertambah, tempoh RMO juga tidak dapat dipastikan. 

2 bulan, segalanya kelihatan lancar. Tidak pernah terjangka suasana akan tiba-tiba berubah, begitu cepat.

Sesuatu yang selalu dirindui, kini sudah sering bertemu, bahkan dilarang berpisah. Sesuatu yang sering bersama sebelum ini, sudah menjadi sebuah kerinduan.

Hampir seminggu rupanya. Terasa janggal apabila budaya hidup selama dua bulan harus melalui perubahan. Bagaimana agaknya nanti setelah 10 bulan harus melangkah kaki ke kementerian?

Tiada PT mahupun perhimpunan pagi. 

Bertalu-talu mesej whatsapp masuk setiap hari. Cerita dan diskusi silih berganti. Cerita makan, cerita seram, cerita... macam-macam. Lebih padu angka mesej Whatsapp sidang berbanding angka positif COVID-19. 

Di sinilah aku merasa teruji dengan komponen AKSARA yang ke-4. Bukan senang nak mengubah kebiasaan. Tak mungkin sama berguru secara fizikal berbanding maya. Namun pembelajaran harus tetap diteruskan. 

Nak pula capaian internet di rumah yang seakan-akan dijangkiti COVID-19, sungguh mencabar. Tilam dan peti ais melambai-lambai ketika bulatan loading asyik berpusing...dan berpusing.

Jadual DPA 2020 pun mengalami perubahan. Teori-teori juga aktif berlegar-legar tentang nasib kami sebagai Kadet PTD. Namun semuanya masih di peringkat membawang, belum ada apa-apa kepastian. 

Suasana ini mendidik kita, perlu sentiasa merujuk pada sumber yang sahih dan jelas dalam mendapatkan informasi yang tepat. Tak pasti, jangan kongsi. 

Pelik betul dengan spesies yang suka mencipta fake news pada saat-saat yang sangat getir ini. Seluruh dunia sedang bergelora dengan pukulan ini. Disease fake news inipun satu tragedi.

2020, benar-benar sebuah tahun yang mencabar bagi kami kadet PTD, dan tahun mencabar untuk dunia. Kami belajar kepimpinan daripada situasi sebenar. 

Bila kita berjauhan, baru kita sedar betapa besar erti kebersamaan. Bila kita kehilangan, baru kita sedar betapa besar erti pemberian.

Ketika kita bosan hanya menanti, ada mereka yang tidak jemu memberi, berkorban tanpa mempedulikan keadaan diri. 

Semoga kita sentiasa saling menguatkan dalam perjalanan ini. Saling memperkaya pengalaman. 

It is not only about the destination, it is about the journey, and the people you travel with.

ZY
24 Mac 2020
7th day RMO

Comments

Popular posts from this blog

DPA 2020 : Apakah Kesudahannya?

Jurnal DPA 2020 - Bhgn 17

Pesan PL 2021 - Bhgn 4