Jurnal DPA 2020 - Bhgn 4

"Ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya."

Bila dapat result berjaya temuduga dan ditawarkan ke DPA, ibulah orang pertama yang aku beritahu. Seperti ibu-ibu lain, beliau pastinya begitu gembira dan lega, boleh dirasai daripada intonasi suaranya yang menenangkan.

Manakan tidak, semalaman beliau tidak tidur pada malam sebelum temuduga, mengaji Quran dan tak putus berdoa. Lancar tutur kata bukan hanya kerana informasi di minda, tetapi lebih utama adalah berkatnya doa bonda.

Seterusnya adik aku, perbualan telefon yang hampir sepi daripada kata-kata kerana di sini dan di sana hanya mampu menangis gembira. Dia beria-ia belikan aku sepasang suit untuk temuduga walaupun belum tentu aku berjaya. Inilah cinta yang tidak bersyarat.

Entah mengapa masuk ke laluan perkhidmatan PTD ini begitu syahdu kurasa, walaupun sehingga kini aku tak mampu menjawab secara lancar dan pasti sebab konkrit nak jadi PTD. Mungkin kerana tahun kelima mencuba, mungkin juga kerana begitu besar harapan ayah dan bonda.

Bicara sama teman dan saudara, semuanya kagum mendapat tahu aku lepas temuduga PTD. Seperti orang lain kukira, aku hanya mampu tersipu senyum sambil berkata, "Alhamdulillah rezeki...", walaupun di hati tak dapat menolak perasaan bangga yang muncul, ditepis ia tetap datang bertandang.

Mendengar pula perbualan saudara yang sebahagiannya guru, ramai juga yang tidak berkenan dengan PTD. Begitu juga teman daripada kalangan doktor. PTD seolah-olah terasing daripada masyarakat di akar umbi, dipandang tinggi dalam arasnya tersendiri. Aku masih kurang mengerti.

Namun setelah 2 minggu ini, laluan ini seakan sebati dengan apa yang aku cari. Minggu bina sahsiah benar-benar membawa dimensi baru tentang PTD yang aku pernah faham sebelum ini.

Aku mula sedar dan rasai bahawa PTD menggalas tugas dan amanah yang sangat besar, bekerja untuk rakyat, berkhidmat untuk negara. Ianya bukan tentang posisi untuk dibanggakan, tetapi niat tulus yang akan menjadi pembakar semangat sepanjang jalan perjuangan.

Begitulah pesan Dr. Bakhari Ismail, Timbalan Pengarah Kanan INTAN, "Tetapkan niat, baru kamu akan fokus dan enjoy."

Beliau bercerita tentang kepuasan emosi melihat hasil sumbangan dan kesan-kesan kerja kita kepada rakyat dan negara. Merasai denyut nadi rakyat daripada posisi yang strategik untuk membawa perubahan. Melihat secara 'birds eye view' terhadap segala isu yang ada.

Ternyata perjalanan yang jauh dan berliku ini memerlukan hati yang kental dan niat yang kukuh.

Tanpanya, kita tetap akan berjalan, tetapi hilang makna keunggulan.

Jika ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya, PTD menyusur kegemilangan, janganlah hilang kerendahan hatinya.

ZY
2 Februari 2020

Comments

Popular posts from this blog

DPA 2020 : Apakah Kesudahannya?

Jurnal DPA 2020 - Bhgn 17

Pesan PL 2021 - Bhgn 4